Monday, July 28, 2008

REFLEKSI PENGALAMAN PROFESIONAL 6

REFLEKSI PENGALAMAN PROFESIONAL MINGGU KETIGA
Minggu lepas sudah masuk minggu ketiga saya menjalani praktikal di SKBB. Begitu cepat sekali masa berlalu. Pada minggu ini, tidak banyak cerita-cerita menarik untuk dikongsi bersama. Mungkin saya sudah mula boleh adaptasi dengan persekitaran baru ini. Begitulah senario sekolah dengan rutin-rutin biasanya. Pengalaman di sekolah lama menjadi salah satu sebab saya mudah mengadaptasi persekitaran baru ini.

Isnin, seperti biasa diadakan perhimpunan mingguan. Pada minggu ini diadakan pula majlis pelancaran Bulan Bahasa Inggeris oleh Guru Kanan 1. Majlis kemudian diserikan dengan persembahan daripada murid-murid pra sekolah, tahun satu, tahun dua dan juga murid-murid tahun 3. Dukacitanya, majlis ini tidak berjalan lancar seperti yang dirancangkan kerana hujan. Memandangkan majlis itu pula mengambil masa yang agak lama, jadi saya hanya dapat masuk ke kelas 5 Cekap lebih kurang 10 minit untuk mengajar pada minggu ini. Oleh kerana masa begitu singkat untuk mengajar, saya cuba menjalankan aktiviti kuiz untuk kelas ini. Aktiviti ini nampaknya dapat menarik minat mereka. Suasana kelas agak riuh dengan suara murid-murid untuk menjawab soalan-soalan yang dikemukakan. Selesai waktu kelas saya seperti biasa menyiapkan portfolio dan tugasan projek khas yang masih belum sempurna.

Selasa, saya masuk ke kelas 5 Amanah untuk kali kedua. Hari ini saya cuba untuk mengaplikasi ICT dalam P&P. Saya menyediakan bahan persembahan PowerPoint. Sebelum masuk ke kelas saya telah bertanya kepada Cikgu Nazri, iaitu guru penyelaras PPSMI mengenai peralatan ICT di dalam kelas tersebut. Beliau menyatakan bahawa peralatan tersebut sempurna. Malangnya tiba waktu kelas, saya tidak dapat menggunakan LCD Projektor untuk mengajar kerana laptop saya tidak dapat berkomunikasi dengan LCD tersebut. Memandangkan masa begitu singkat, saya terpaksa dengan kaedah ‘talk and chalk’ sahaja. Nasib baik, murid-murid memahami keadaan tersebut. P&P berjalan lancar.

Rabu, kali pertama saya membawa murid-murid 2 Amanah ke makmal komputer untuk mengajar mata pelajaran ICTL. Murid-murid ini nampaknya begitu ‘excited’ untuk belajar subjek ini. Namun mereka agak agresif sewaktu proses P&P dan tidak sabar untuk menggunakan komputer. Nasib baik saya dapat mengawal keadaan tersebut. Saya telah memanggil seorang pelajar yang agak bising ke depan. Ini membuatkan pelajar-pelajar lain takut untuk membuat bising lagi. Proses P&P berjalan agak sempurna.

Khamis, kali ketiga saya mengajar ICTL untuk kelas 3 Budiman. Saya membawa murid-murid ke makmal komputer untuk melaksanakan proses P&P yang telah dirancang. Saya mendapati kelas murid-murid kelas ini juga ‘excited’ untuk menggunakan komputer. Mereka agak bising semasa proses P&P namun begitu P&P masih berjalan dengan baik. Selesai waktu kelas, saya menyiapkan kerja-kerja yang belum selesai.

Jumaat, saya tiada kelas pengajaran. Selepas minum pagi, saya dan kawan-kawan menyiapkan portfolio untuk dihantar dan disemak oleh pihak sekolah. Selepas itu saya dan kawan-kawan ke makmal komputer untuk membaiki beberapa buah komputer yang rosak. Sebelah petang pula saya mengikuti perkhemahan sekolah di pusat kokurikulum Lanchang. Perkhemahan ini diadakan selama 3 hari 2 malam.

Monday, July 21, 2008

REFLEKSI PENGALAMAN PROFESIONAL 5

Erm.. sebenarnya ini adalah refleksi untuk hari Khamis dan Jumaat minggu lepas. Memandangkan ada masalah untuk 'upload' maka entri ini aku terpaksa masukkan hari ini. Internet kat asrama pula dah 3, 4 hari tak dapat digunakan. Inilah ceritanya...

Khamis, 17 Julai 2008, kali kedua aku mengajar ICTL di kelas 3A. Aku membawa murid-murid ke makmal komputer untuk melaksanakan proses P&P yang telah dirancang. Aku mendapati kelas ini sukar sedikit untuk dikawal. Mereka agak bising semasa proses P&P namun begitu P&P masih berjalan dengan baik. Hal ini kerana ramai murid-murid yang telah biasa menggunakan komputer. Selesai waktu kelas, aku dan kawan-kawan berbincang untuk menyiapkan kerja-kerja yang belum selesai.

Hari ini, Jumaat, 18 Julai 2008, aku tiada kelas pengajaran. Selepas minum pagi, aku dan kawan-kawan menyiapkan portfolio untuk dihantar dan disemak oleh pihak sekolah. Tamat minggu kedua praktikal di SKBB.

Wednesday, July 16, 2008

REFLEKSI PENGALAMAN PROFESIONAL 4

Hari ini, Rabu, 16 Julai 2008, kali pertama aku masuk mengajar kelas 2 Amanah. Sebenarnya aku dah 'plan' nak bawa dia orang ke makmal komputer sebab ini adalah mata pelajaran ICTL. Aku arahkan mereka turun. Tengok-tengok makmal dah ada orang lain guna. Aduh... rosak 'plan'. Salah aku juga kerana tidak memeriksa bilik tersebut terlebih dahulu. Aku terpaksa arahkan mereka balik ke kelas. Hari ini terpaksa mengajar 'talk and chalk' je la. Nasib baik murid-murid tu okey. Habis waktu kelas, aku ke bilik guru menyiapkan beberapa kerja yang belum selesai. Selepas waktu sekolah ada pula meeting berkenaan dengan perkhemahan unit beruniform pada 27 Julai nanti. Kami turut terlibat sebagai AJK Penginapan. Nampak kepada aktiviti, satu perkhemahan yang menarik.

Monday, July 14, 2008

REFLEKSI PENGALAMAN PROFESIONAL 3

Perhimpunan pagi

Perlawanan futsal tertutup SKBB


Hari ini, Isnin, 14 Julai 2008, minggu kedua aku menjalani praktikal di SKBB. Hari ini aku datang dengan penuh semangat. Pada paginya, seperti biasa diadakan perhimpunan pagi dan seperti biasa murid-murid akan mendengar ucapan, taklimat dan pesanan dari guru-guru bertugas. Dalam perhimpunan hari ini juga, diadakan aktiviti berbalas pantun sempena bulan bahasa. Aktiviti ini disertai oleh murid-murid tahun satu. Lucu melihat telatah anak-anak kecil ini.

Hari ini aku ingat dapatlah masuk ke kelas 5C untuk mengajar Kajian Tempatan buat pertama kalinya tetapi tidak dapat juga kerana semua pelajar tahun 5 terlibat dengan ceramah motivasi seperti yang diumumkan semasa perhimpunan tadi. Selepas perhimpunan, aku dan kawan-kawan terus ke kantin. Semasa minum di kantin aku dan kawan-kawan Salleh dan Ifzad apakah yang akan kami lakukan hari ini. Selesai minum pagi kami terus ke bilik guru untuk menyiapkan pelbagai tugasan yang belum selesai.

Semasa di bilik guru, kami memberitahu Cikgu Kamaruzzaman iaitu guru penyelaras makmal komputer bahawa kami bercadang untuk memeriksa komputer-komputer di makmal. Cikgu Kamaruzzaman bersetuju dengan rancangan tersebut. Pada pukul 10 lebih, kami mula bergerak ke bilik komputer untuk meneruskan rancangan kami hari ini. Lebih kurang pukul 12 tengah hari, kami selesai memeriksa komputer-komputer di makmal tersebut. Kami dapati 8 daripada 20 buah komputer tidak dapat digunakan. Yang lain-lain pula nampaknya ada sedikit masalah kecil. Hal ini mungkin kerana komputer-komputer tersebut sudah lama tidak menjalani penyelengaraan. Kami bercadang untuk memperbaiki komputer tersebut sebaik mungkin.

Selepas itu kami kembali ke bilik guru untuk menyiapkan tugasan-tugasan yang belum selesai. Aduh… banyak lagi kerja yang belum disiapkan. Aku pula sudah 2 hari tidak menulis refleksi pada minggu lepas kerana aku bercadang untuk menyiapkan pada cuti minggu lepas. Alamak… internet pula tiada. Terbengkalai kerja aku. Hari ini aku rasa terpaksa menyiapkannya di sekolah kerana nampaknya internet di sini berfungsi dengan baik. Setelah menulis hampir 2 jam, akhirnya aku dapat menyiapkan refleksi untuk minggu lepas dan separuhnya hari ini. Selepas habis waktu sekolah kami terus balik. Sebelumnya, Cikgu Zarin minta aku dan kawan-kawan datang ke petang petang ini kerana ada futsal tertutup SKBB. Selepas makan, mandi dan sembahyang aku datang balik ke sekolah. Saja nak tengok-tengok mengenai kegiatan petang di sekolah. Pukul 5.30 petang juga baru berakhir semua perlawanan. Selesai semua perlawanan aku terus balik. Malamnya aku menyambung lagi kerja-kerja yang perlu aku siapkan . Aik.. sedar tak sedar, rupa-rupanya sudah seminggu aku menjalani praktikal di SKBB.

Wednesday, July 9, 2008

REFLEKSI PENGALAMAN PROFESIONAL 2

Hari ini, Rabu, 9 Julai 2008, hari ketiga di SKBB. Seperti biasa kami sampai agak awal ke sekolah. Pada hari ini diadakan pelancaran bulan kesihatan peringkat sekolah. Semua guru dan murid dikehendaki berhimpun di tapak perhimpunan untuk aktiviviti senamrobik yang dikendalikan oleh beberapa orang guru. Aktiviti tersebut telah diadakan pada jam 7.40 pagi dan berakhir jam 8.15 pagi. Tujuan aktiviti ini adalah untuk menyihatkan tubuh badan dan akan berterusan setiap minggu iaitu pada waktu pagi pada setiap hari Rabu.

Hari ini aku akan masuk ke kelas untuk mengajar tetapi aku perlu berjumpa dahulu dengan Cikgu Rohana untuk berbincang mengenai kelas yang akan aku ambil alih nanti iaitu Kelas 5A. Mata pelajaran yang akan aku ajar untuk tersebut ialah Matematik. Lebih kurang pukul 9, aku sempat berjumpa dengan Cikgu Rohana. Aku maklumkan kepada beliau mengambil hal tersebut. Nampaknya Cikgu Rohana keberatan pula untuk melepaskan kelas tersebut kepada aku. Hal ini kerana beliau adalah guru kelas tersebut yang memerlukan masa bersama-sama mereka dalam hal pengurusan kelas. Perkara ini terjadi kerana pada masa Penolong Kanan HEM memberikan kelas tersebut untuk aku, beliau tidak berbincang dengan Cikgu Rohana. Jadi aku bertanya, adakah mata pelajaran lain yang boleh aku ajar di kelas tersebut. Beliau mencadangkan aku mengambil alih mata pelajaran Kajian Tempatan. Aku bersetuju dengan cadangan itu cuma aku harus memaklumkan kepada Penolong Kanan mengenai perubahan tersebut. Memandang guru-guru agak sibuk, aku tidak sempat untuk berjumpa dengan Penolong Kanan untuk memaklumkan mengenai hal tersebut.

Hari ini aku hanya menyiapkan kerja-kerja aku yang banyak terbengkalai seperti membuat ‘storyboard’ projek khas, meneliti blog kawan-kawan untuk melihat perkembangan mereka, meneliti sukatan pelajaran Kajian Tempatan dan ICTL yang akan aku ajar nanti dan sebagainya. Letih juga praktikal ni. Banyak kerja yang perlu dibuat. Hari ketiga berlalu…

Tuesday, July 8, 2008

REFLEKSI PENGALAMAN PROFESIONAL 1


Hari ini hari kedua aku kembali ke sekolah setelah 6 bulan lebih mengikuti Kursus Sijil Perguruan Khas (KSPK) di IPPM dan hari ini juga hari kedua aku kembali ke sekolah rendah setelah 7 tahun meninggalkannya. Kekok... begitulah yang aku rasakan setelah lebih 6 bulan lebih tidak berada di sekolah tambahan lagi apabila kembali semula ke sekolah rendah. Maklumlah sudah lama tidak bermain dengan kanak-kanak apabila aku bertukar ke sekolah menengah setelah tamat menyambung pelajaran 4 tahun yang lalu. Aku kini dalam proses menjalani praktikal atau pengalaman profesional bagi melengkapkan modul kursus KSPK ini.

Pada hari pertama, aku dan 2 orang kawan lagi iaitu Salleh dan Ifzad tiba di Sekolah Kebangsaan Bukit Baru iaitu tempat aku menjalani praktikal seawal jam 7.10 pagi lagi. Kami sengaja datang awak untuk melihat senario yang berlaku di sekolah pada minggu permulaan ini. Lagipun kata Salleh dan Ifzad, sekolah mereka bermula pada 7.30 pagi. Pada fikiran mereka, waktu persekolahan di sekolah ini pun sama dengan sekolah mereka dahulu. Hari pertama di sekolah, seronok juga melihat telatah anak-anak kecil. Mereka tidak lokek untuk memberi salam kepada guru-guru. Ada ketikanya aku menyapa anak-anak kecil ini. Aku gembira melihat telatah mereka dan dengan jawapan-jawapan yang mereka berikan daripada soalan-soalan yang aku kemukan kepada mereka. Terimbau kembali sewaktu aku mengajar di sekolah rendah dahulu. Begitulah sikap kanak-kanak semasa mereka di sekolah rendah. Cukup menghormati guru mereka. Berbeza dengan pelajar-pelajar sekolah menengah atau apa yang sedang aku alami sekarang.

Pada hari pertama, selepas perhimpunan pagi, kami ke pejabat untuk berbincang dengan Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM) mengenai jadual kami. Beliau mewakili Guru Besar yang sedang mengikuti kursus dan Guru Penolong Kanan yang mengerjakan umrah. Pada awalnya beliau tidak jelas dengan kedatangan kami. Setelah berbincang, barulah beliau faham tujuan kedatangan kami ke sekolah ini. Aku diberi 5A untuk mengajar matematik. Boleh ke?... Itu persoalan yang bermain di fikiranku. Ini kerana sudah lama aku tidak mengajar matematik. Pada hari itu, kami diminta berjumpa dengan guru mata pelajaran masing-masing untuk memaklumkan tentang hal ini. Oleh kerana cikgu yang mengajar matematik iaitu Puan Rohana sibuk, aku tidak dapat berjumpa dengan beliau. Hari itu, kami balik dengan perasaan pelbagai cerita. Bercerita tentang apa yang berlaku di sekolah pada hari ini.

Hari ini aku masih tidak dapat berjumpa dengan cikgu Rohana kerana beliau mengikuti kursus. Jadi aku masih tidak dapat lagi masuk ke kelas 5A kerana aku perlu berbincang dahulu dengan cikgu Rohana mengenai mata pelajaran itu. Hari ini aku cuma menyiapkan tugasan-tugasan yang diberikan kepadaku. Hari kedua pun berlalu.