Thursday, May 8, 2008

BERUSAHALAH UNTUK SENTIASA OPTIMIS

Hati-hatilah, kerana gelisah itu ada pintu gerbangnya.

Dan yakinlah ada kelapangan setelah kegelisahan.

Tahukah kamu bahawa panjangnya malam pasti akan

berakhir dan terbitnya fajar pasti akan tiba.

Janganlah bersedih, kerana kesedihan tidak akan

mendatangkan sebarang faedah apapun pada dirimu.

Janganlah bersedih, kerana kesedihan tidak akan

meringankan bebanan kamu.

Janganlah bersedih, kerana kesedihan tidak akan

mendatangkan kejayaan.

Janganlah bersedih, kerana kesedihan tidak mampu

mengembalikan keagungan.

Janganlah bersedih, kerana kesedihan tidak akan

mengembalikan sesuatu yang telah tiada.

Janganlah bersedih, kerana kesedihan hanya akan

menambah kekesalan pada dirimu.

Berusahalah untuk sentiasa optimis, kerana sikap optimis itu

mampu mencegah kesedihan.

Berusahalah untuk sentiasa optimis, kerana sikap optimis itu

mampu memberi motivasi untuk bekerja dan memperoleh kejayaan.

Berusahalah untuk sentiasa optimis. kerana adalah

keringanan sesudah kesedihan.

Orang Mukmin Yang Kuat Lebih Dikasihi Allah

Hadith :

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: "Orang mukmin yang kuat lebih baik di sisi Allah dan lebih dikasihi daripada orang mukmin yang lemah, sedangkan setiap seorang itu mempunyai kebaikannya (imannya) ; oleh itu hendaklah engkau bersungguh-sungguh berusaha memperoleh apa yang memberi manfaat kepadamu, serta hendaklah meminta pertolongan kepada Allah dan janganlah engkau bersikap segan dan malas; dan sekiranya engkau ditimpa sesuatu maka janganlah engkau berkata :" Kalaulah aku lakukan itu ini, tentulah akan terjadi begitu begini, tetapi katalah :" Allah telah takdirkan, dan apa yang dikehendaki oleh kebijaksanaan- Nya Ia lakukan, kerana perkataan 'kalau' itu membuka jalan kepada hasutan syaitan. "

Riwayat Muslim


Huraian
Pengajaran hadith:
i) Setiap mukmin itu mempunyai tingkat imannya yang tertentu di mana ada yang kuat semangatnya, ilmunya dan kuat pula berusaha untuk mendapatkan kebaikan dalam hidup; manakala setengah yang lain pula adalah sebaliknya.
ii) Seharusnya kita berusaha bersungguh-sungguh dalam mencapai sesuatu di samping meminta pertolongan daripada Allah S.W.T supaya dengan ihsan-Nya Allah memberi taufik dan menjayakan segala usaha yang dilakukan itu kerana manusia walau sebijak mana dan sekuat mana pun ia, tetap berhajat kepada pertolongan dan pimpinan daripada Allah S.W.T.
iii) Demikian juga kita tidak sepatutnya bersikap malas dan malu untuk bekerja serta hanya memasang angan-angan bahawa Allah akan menyampaikan hajat kita dengan alasan Allah itu Maha Berkuasa sedangkan Allah sendiri telah menjelaskan bahawa sesuatu yang boleh diusahakan oleh manusia tidak akan berhasil melainkan setelah diusahakan sebab atau jalan untuk mencapainya.
iv) Sekiranya sesuatu usaha yang dibuat itu ditakdirkan menemui kegagalan maka kita selaku umat Islam dikehendaki menghadapinya dengan perasaan redha, tenang tenteram kerana hal tersebut pasti mengandungi hikmahnya yang tersendiri yang hanya diketahui oleh Allah.
v) Janganlah sekali-kali disebut perkataan 'kalau' jika mengalami kerugian atau kekecewaan kerana ia akan membuka jalan kepada hasutan syaitan yang akan menjadikan seseorang itu gelisah, marah, tidak redha kepada takdir dan ketentuan Allah Yang Maha Esa.

Tuesday, May 6, 2008

Rapuhnya nilai akhlak manusia masa kini

Ustaz Zainudin Hashim
Fri | Apr 11, 08 | 9:08:22 am MYT

Islam satu-satunya agama (cara hidup) yang diperakui oleh Allah SWT yang diperuntukkan sesuai dengan fitrah semula jadi manusia serta makhluk yang lain.

Islam yang menjadi mercu tanda kegemilangan di zaman Rasulullah s.a.w, kemudian disambung oleh para sahabat nabi, setelah itu diperpanjangkan oleh sistem pemerintahan Islam seperti pemerintahan Bani Umaiyah, 'Abbasiyyah sehinggalah ke era pemerintahan Islam 'Othmaniyyah di Turki.

Matlamat utama penubuhan negara Islam tersebut adalah untuk merealisasikan tuntutan agama menerusi al-Quran dan Sunnah Nabi Muhammad s.a.w.

Tetapi matlamat tersebut lenyap dengan berakhirnya negara Islam di Turki yang jatuh ke tangan British menerusi pengkhianat Islam iaitu Mustafa Kamal Atarturk. Di mana beliau menjadi dalang untuk melihat Islam dikikis dari bumi Turki.

Ini bermakna umat Islam hari ini di seluruh dunia kehilangan kepimpinan Islam dan mereka amat dahagakan kepimpinan tersebut, kerana teori barat ataupun isme ciptaan manusia yang sudah lama bertapak sejak puluhan malah ratusan tahun tidak mampu menjadikan manusia sebagai insan yang bertamaddun dalam segenap tindak-tanduk mereka.

Ini dapat dilihat kerakusan manusia dalam pentas dunia, meragut ribuan nyawa yang tidak berdosa, seolah-olah menggambarkan pihak yang kuat dan lantang menguasai yang lemah.

Kekuatan teknologi dan senjata nuklear menentukan segala-galanya, pengguguran bom di bumi Hiroshima dan Nagasaki membuktikan tindakan yang kejam.

Pencabulan Israel pada awal 80an di Sabra dan Shatila yang mengorbankan banyak nyawa, serangan Soviet Union (sekarang Russia) dan yang terkini serangan kuasa besar Amerika Syarikat ke atas bumi Afghanistan kononnya memerangi pengganas, sehingga ke hari ini Amerika tidak mampu mengemukakan sebarang bukti yang nyata bahawa Osama Bin Laden bertanggung-jawab memusnahkan bangunan Pusat Dagangan Dunia (WTC) dan Pentagon yang dikenali dengan peristiwa 11 september.

Peristiwa 11 September itu, seolah-olah dilihat sebagai batu loncatan buat Amerika untuk bertindak atas slogan hak asasi manusia. Akibatnya orang tua, wanita, kanak-kanak serta harta benda awam musnah hasil bedilan bom tercanggih Amerika. Ini juga menggambarkan seolah-olah bumi Afghanistan medan raptai segala ciptaan nuklearnya.

Amerika yang dianggap dunia sebagai sebuah negara maju dalam segenap bidang hidup, antaranya pencapaian teknologi maklumat, ekonomi,hiburan dan lain-lain, namun tidak mampu membendung jenayah di wilayah Amerika yang berlaku setiap detik seperti yang dilaporkan oleh Polis Antarabangsa (Interpol).

Hollywood yang mengaut keuntungan luar biasa hasil penjualan filem, dilihat sebagai salah satu faktor yang menyumbang kepada terhakisnya nilai akhlak di kalangan manusia sama ada Islam dan bukan Islam. Sumbangannya itu tidak terbatas hanya kepada negara barat sahaja, malah menembusi pasaran Asia termasuklah Malaysia yang tidak terkecuali kerana Malaysia dianggap salah sebuah negara yang berpotensi dalam segala hal.

Kita tidak lupa rosaknya akhlak remaja di negara kita khasnya, adalah hasil hiburan yang mudah diperolehi, bermula di pawagam, pub-pub, internet, video-video lucah dan sebagainya yang memberi saham ke arah keruntuhan moral.

Fenomena ini merisaukan semua pihak, lebih-lebih lagi para ibu-bapa yang telah banyak mengeluarkan wang semata-mata untuk melihat agar anak mereka menjadi insan yang berguna pada satu hari nanti.

Tetapi dalam masa yang sama, mereka lupa persekitaran yang ada tidak mampu menjamin suasana yang baik. Kerana persekitaran itu dicipta oleh penguasa, pemerintah atau pemimpin. Sehubungan dengan itu, Islam telah menyatakan sikapnya iaitu "Rakyat bergantung kepada agama/pegangan pemimpin mereka".

Justeru, umat Islam khasnya di segenap pelusuk dunia, mesti bersedia untuk kembali kepada ajaran Islam tulen, iaitu mendalami ilmu Islam seperti Usuluddin dan Syari'ah, sejarah Islam seperti sejarah hidup Rasulullah s.a.w, para nabi, para sahabat, para 'ulamak serta tokoh-tokoh Islam.

Ini kerana semua maklumat tersebut dapat membantu daya tahan dalaman seseorang muslim, malah dapat menghilangkan krisis keyakian umat Islam terhadap agama mereka sendiri.

Monday, May 5, 2008

BERKAT

Petikan ucapan Ustaz Hj. Akil - Sangat Menarik lagi benar!!


Di dalam hidup manusia, yang penting ialah BERKAT.
Bila hidup kita berkat, diri ini akan selamat.
Apabila diri selamat, rumahtangga jadi sepakat.
Apabila rumahtangga jadi sepakat, masyarakat jadi muafakat.
Apabila masyarakat jadi muafakat, negara kita menjadi kuat.
Apabila negara menjadi kuat, negara luar jadi hormat.
Apabila negara luar jadi hormat, permusuhan pun tersekat.
Apabila permusuhan tersekat, pembangunan pun meningkat.
Apabila pembangunan pun meningkat, kemajuan menjadi pesat.



TETAPI AWAS, apabila pembangunan meningkat, kemajuan menjadi pesat,
kita lihat bangunan naik bertingkat-tingkat.

Ditengah-tengah itu, tempat maksiat tumbuh macam kulat.
Apabila tempat-tempat maksiat tumbuh macam kulat, KETIKA ITU manusia mula

mengubah tabiat.
Apabila manusia telah mengubah tabiat, ada yang jadi lalat ada yang jadi ulat.

Apabila manusia dah jadi ulat, sembahyang makin hari makin liat.
Apabila sembahyang jadi liat, orang baik ada yang bertukar jadi jahat.
Apabila orang baik bertukar jahat, orang miskin pula nak kaya cepat.
Apabila orang miskin nak kaya cepat, orang tua pula nak mati lambat.
Apabila orang tua nak mati lambat, tak dapat minum madu telan jer la minyak gamat.

Yang lelaki, budak budak muda pakai seluar ketat.
Semua nak tunjuk kuat.
Bila berjudi, percaya unsur kurafat.
Tapi hidup pula yang melarat.
Tali kasut dah tak berikat.
Rambut pun jarang sikat.

Yang perempuan, pakai mini sekerat.
Suka pakai baju ketat.
Suka sangat menunjukkan pusat.
Hingga tak pedulikan lagi batasan aurat.
Pakai pulak yang singkat-singkat.
Kadang-kadang ternampak benda 'bulat'.

Bila jadi macam ini, siapa lihat pasti tercegat.
Silap gaya jadi gawat, bohsia bohjan lagi hebat.
Duduk jauh berkirim surat.
Bila berjumpa, tangan berjabat.
Kemudian pakat lawan peluk siapa erat.
Masa tu, nafas naik sampai tersekat-sekat.
Usah peduli agama dan adat.
Usah takut Allah dan malaikat.
Yang penting apa kita nak buat?
Kita 'bukti' lah kita buat.
Akhirnya perut kempis dah jadi bulat.
Apabila perut kempis dah jadi bulat, maka lahirlah
pula anak-anak yang tak cukup sifat.
Bila anak-anak tak cukup sifat, jam tu kita tengok bayi dibuang di merata tempat.
MAKNANYA KETIKA ITU, IBLIS MULA MELOMPAT.
Dia kata apa? Habis manusia dah masuk jerat.
Habis manusia telah tersesat.
Inilah dia fenomena masyarakat.
Oleh itu wahai saudaraku dan para sahabat,
Marilah kita pakat mengingat,
Bahawa dunia hari ini makin singkat,
Esok atau lusa mungkin kiamat,
Sampai masa kita semua akan berangkat! .
Berangkat menuju ke negeri akhirat.

Di sana kita akan ditanya apa yang kita buat.
Masa tu, sindri mau ingat.

Umur mu banyak mana mu buat ibadat...?
Zaman muda mu, apa yang telah mu buat...?
Harta benda anta, dari mana anta dapat...?
Ilmu anta, adakah anta manafaat...?

Semoga ianya dapat mengingatkan kita supaya segera
meninggalkan maksiat dan memperbanyakkan ibadat.

(Petikan ucapan Ustaz Hj. Akil Hayy Rawa.
Sebarkanlah ini kepada ahli keluarga, saudara-mara, rakan-rakan dan
sahabat handai kita agar masyarakat
kita akan menjadi sebuah masyarakat yang bukan sahaja maju dari segi
duniawi malah ukhrawi. Insya-Allah. ..Allahhuakbar! Allahhuakbar!
Allahhuakbar! )