Tuesday, July 8, 2008

REFLEKSI PENGALAMAN PROFESIONAL 1


Hari ini hari kedua aku kembali ke sekolah setelah 6 bulan lebih mengikuti Kursus Sijil Perguruan Khas (KSPK) di IPPM dan hari ini juga hari kedua aku kembali ke sekolah rendah setelah 7 tahun meninggalkannya. Kekok... begitulah yang aku rasakan setelah lebih 6 bulan lebih tidak berada di sekolah tambahan lagi apabila kembali semula ke sekolah rendah. Maklumlah sudah lama tidak bermain dengan kanak-kanak apabila aku bertukar ke sekolah menengah setelah tamat menyambung pelajaran 4 tahun yang lalu. Aku kini dalam proses menjalani praktikal atau pengalaman profesional bagi melengkapkan modul kursus KSPK ini.

Pada hari pertama, aku dan 2 orang kawan lagi iaitu Salleh dan Ifzad tiba di Sekolah Kebangsaan Bukit Baru iaitu tempat aku menjalani praktikal seawal jam 7.10 pagi lagi. Kami sengaja datang awak untuk melihat senario yang berlaku di sekolah pada minggu permulaan ini. Lagipun kata Salleh dan Ifzad, sekolah mereka bermula pada 7.30 pagi. Pada fikiran mereka, waktu persekolahan di sekolah ini pun sama dengan sekolah mereka dahulu. Hari pertama di sekolah, seronok juga melihat telatah anak-anak kecil. Mereka tidak lokek untuk memberi salam kepada guru-guru. Ada ketikanya aku menyapa anak-anak kecil ini. Aku gembira melihat telatah mereka dan dengan jawapan-jawapan yang mereka berikan daripada soalan-soalan yang aku kemukan kepada mereka. Terimbau kembali sewaktu aku mengajar di sekolah rendah dahulu. Begitulah sikap kanak-kanak semasa mereka di sekolah rendah. Cukup menghormati guru mereka. Berbeza dengan pelajar-pelajar sekolah menengah atau apa yang sedang aku alami sekarang.

Pada hari pertama, selepas perhimpunan pagi, kami ke pejabat untuk berbincang dengan Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM) mengenai jadual kami. Beliau mewakili Guru Besar yang sedang mengikuti kursus dan Guru Penolong Kanan yang mengerjakan umrah. Pada awalnya beliau tidak jelas dengan kedatangan kami. Setelah berbincang, barulah beliau faham tujuan kedatangan kami ke sekolah ini. Aku diberi 5A untuk mengajar matematik. Boleh ke?... Itu persoalan yang bermain di fikiranku. Ini kerana sudah lama aku tidak mengajar matematik. Pada hari itu, kami diminta berjumpa dengan guru mata pelajaran masing-masing untuk memaklumkan tentang hal ini. Oleh kerana cikgu yang mengajar matematik iaitu Puan Rohana sibuk, aku tidak dapat berjumpa dengan beliau. Hari itu, kami balik dengan perasaan pelbagai cerita. Bercerita tentang apa yang berlaku di sekolah pada hari ini.

Hari ini aku masih tidak dapat berjumpa dengan cikgu Rohana kerana beliau mengikuti kursus. Jadi aku masih tidak dapat lagi masuk ke kelas 5A kerana aku perlu berbincang dahulu dengan cikgu Rohana mengenai mata pelajaran itu. Hari ini aku cuma menyiapkan tugasan-tugasan yang diberikan kepadaku. Hari kedua pun berlalu.

1 comment:

TokNabe said...

Selamat kembali ke sekolah weiii... W'pun sekejap tu buatlah 'sesuatu'.