Monday, July 28, 2008

REFLEKSI PENGALAMAN PROFESIONAL 6

REFLEKSI PENGALAMAN PROFESIONAL MINGGU KETIGA
Minggu lepas sudah masuk minggu ketiga saya menjalani praktikal di SKBB. Begitu cepat sekali masa berlalu. Pada minggu ini, tidak banyak cerita-cerita menarik untuk dikongsi bersama. Mungkin saya sudah mula boleh adaptasi dengan persekitaran baru ini. Begitulah senario sekolah dengan rutin-rutin biasanya. Pengalaman di sekolah lama menjadi salah satu sebab saya mudah mengadaptasi persekitaran baru ini.

Isnin, seperti biasa diadakan perhimpunan mingguan. Pada minggu ini diadakan pula majlis pelancaran Bulan Bahasa Inggeris oleh Guru Kanan 1. Majlis kemudian diserikan dengan persembahan daripada murid-murid pra sekolah, tahun satu, tahun dua dan juga murid-murid tahun 3. Dukacitanya, majlis ini tidak berjalan lancar seperti yang dirancangkan kerana hujan. Memandangkan majlis itu pula mengambil masa yang agak lama, jadi saya hanya dapat masuk ke kelas 5 Cekap lebih kurang 10 minit untuk mengajar pada minggu ini. Oleh kerana masa begitu singkat untuk mengajar, saya cuba menjalankan aktiviti kuiz untuk kelas ini. Aktiviti ini nampaknya dapat menarik minat mereka. Suasana kelas agak riuh dengan suara murid-murid untuk menjawab soalan-soalan yang dikemukakan. Selesai waktu kelas saya seperti biasa menyiapkan portfolio dan tugasan projek khas yang masih belum sempurna.

Selasa, saya masuk ke kelas 5 Amanah untuk kali kedua. Hari ini saya cuba untuk mengaplikasi ICT dalam P&P. Saya menyediakan bahan persembahan PowerPoint. Sebelum masuk ke kelas saya telah bertanya kepada Cikgu Nazri, iaitu guru penyelaras PPSMI mengenai peralatan ICT di dalam kelas tersebut. Beliau menyatakan bahawa peralatan tersebut sempurna. Malangnya tiba waktu kelas, saya tidak dapat menggunakan LCD Projektor untuk mengajar kerana laptop saya tidak dapat berkomunikasi dengan LCD tersebut. Memandangkan masa begitu singkat, saya terpaksa dengan kaedah ‘talk and chalk’ sahaja. Nasib baik, murid-murid memahami keadaan tersebut. P&P berjalan lancar.

Rabu, kali pertama saya membawa murid-murid 2 Amanah ke makmal komputer untuk mengajar mata pelajaran ICTL. Murid-murid ini nampaknya begitu ‘excited’ untuk belajar subjek ini. Namun mereka agak agresif sewaktu proses P&P dan tidak sabar untuk menggunakan komputer. Nasib baik saya dapat mengawal keadaan tersebut. Saya telah memanggil seorang pelajar yang agak bising ke depan. Ini membuatkan pelajar-pelajar lain takut untuk membuat bising lagi. Proses P&P berjalan agak sempurna.

Khamis, kali ketiga saya mengajar ICTL untuk kelas 3 Budiman. Saya membawa murid-murid ke makmal komputer untuk melaksanakan proses P&P yang telah dirancang. Saya mendapati kelas murid-murid kelas ini juga ‘excited’ untuk menggunakan komputer. Mereka agak bising semasa proses P&P namun begitu P&P masih berjalan dengan baik. Selesai waktu kelas, saya menyiapkan kerja-kerja yang belum selesai.

Jumaat, saya tiada kelas pengajaran. Selepas minum pagi, saya dan kawan-kawan menyiapkan portfolio untuk dihantar dan disemak oleh pihak sekolah. Selepas itu saya dan kawan-kawan ke makmal komputer untuk membaiki beberapa buah komputer yang rosak. Sebelah petang pula saya mengikuti perkhemahan sekolah di pusat kokurikulum Lanchang. Perkhemahan ini diadakan selama 3 hari 2 malam.

No comments: